JHO Low. FOTO Arkib NSTP
JHO Low. FOTO Arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


WISMA Putra berkeyakinan penuh terhadap keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dipercayai sudah menyusup masuk ke China.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, isu Jho Low adalah di bawah kendalian pihak berkuasa khususnya PDRM dan ia mempunyai segala keupayaan untuk mengesan, mencari, menangkap dan membawa balik ahli perniagaan itu ke negara ini.

“Mereka (PDRM) juga mempunyai protokol antarabangsa yang perlu diikuti, malah mereka juga lebih mahir dari kita.

“Bagi Wisma Putra, kita cuma membantu apabila diminta memberi pandangan tetapi lazimnya mereka sudah ada protokol dan kaedah sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya di Putrajaya.

Saifuddin berkata, tidak timbul soal Wisma Putra tidak memainkan peranan dalam usaha menjejaki Jho Low, sebaliknya perkara berkenaan berada di bawah bidang tugas pihak berkuasa iaitu PDRM.

Ditanya mengenai kesahihan berita bahawa Jho Low sudah ditahan di China, Saifuddin berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Semalam, Sarawak Report melaporkan bahawa sebuah stesen radio di Hong Kong yang tidak dinamakan menyatakan bahawa Jho Low sudah ditahan di China.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, pihaknya ingin memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) sesi ke-73 di New York, Amerika Syarikat yang dijadualkan bermula pada 18 September ini.

“Dr Mahathir juga bakal berucap pada perhimpunan itu. Kita amat gembira kerana Perdana Menteri setuju untuk menghadiri UNGA dan berucap pada perhimpunan itu.

“Saya yakin ucapan beliau nanti akan menjadi panduan untuk dasar luar negara kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 7:04 PM