HASHIM bersama Habsah menolak bagasi ketika tiba di Kompleks Tabung Haji, Sepang, semalam.
HASHIM bersama Habsah menolak bagasi ketika tiba di Kompleks Tabung Haji, Sepang, semalam.
Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Paling sedikit RM10. Itu jumlah wang paling sedikit pernah dimasukkan seorang peneroka FELDA ke dalam akaun Tabung Haji (TH) yang dikumpul bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Menceritakan kesungguhannya menabung, Hashim Ismail, 58, berkata, dia pernah memasukkan RM10 sebulan dalam TH memandangkan hanya itu yang mampu dilakukan berdasarkan pendapatan diterimanya sebagai peneroka.

“Ketika itu, enam anak masih kecil dan bersekolah, jadi saya dan isteri pernah hanya memasukkan wang ke dalam akaun masing-masing sebanyak RM10.

“Jumlah simpanan saya setiap bulan juga tidak menentu, mengikut kemampuan masing-masing. Pernah juga kami masukkan ke dalam akaun sebanyak RM50 bergantung kepada pendapatan diterima,” katanya ditemui di Kompleks TH Sepang di sini.

Hashim yang tinggal di FELDA Chini 4 di Pekan, Pahang terpilih untuk menunaikan ibadat haji bersama isteri, Habsah Nayan, 53, seorang suri rumah.

Dalam pada itu, Hashim berkata, biarpun wang yang dimasukkan setiap bulan tidak menentu selain tidak besar jumlahnya dia dan isteri tidak berputus asa mahu ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat haji.

“Kami berdua tidak pernah ke sana memandangkan belum berpeluang untuk menunaikan umrah. Kami berdua juga mendaftarkan diri dengan TH pada 2008.

“Justeru, apabila menerima surat tawaran itu, syukur dan gembira rasanya kerana dapat menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Makkah kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 11:02 AM