FOTO  Dziyaul Afnan Abdul Rahman
FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


LELAKI kurang upaya maut digilis Komuter di landasan kereta api KM141.25 dekat Stesen Keretapi Bukit Keteri, Padang Besar, hari ini.

Mohd Anif Eisha, 34, yang mengalami masalah mental maut selepas tercampak beberapa meter dari landasan kereta api akibat dilanggar.

Ketua Polis Padang Besar, Superintendan Ghazani Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pada kira-kira 4 petang.

“Berdasarkan laporan, pemandu Komuter yang menghala ke Butterworth dari Padang Besar melihat mangsa duduk atas landasan.

“Dia membunyikan hon. Bagaimanapun, mangsa yang sempat bangun dari landasan tidak sempat mengelak dan dirempuh,” katanya ditemui di lokasi kejadian.

Ghazani berkata, identiti mangsa dikenal pasti selepas pihaknya menemui kad pengenalan diri OKU.

“Saudara mangsa juga mengesahkan identiti lelaki itu. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana mangsa boleh masuk ke kawasan landasan kereta api berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2017 @ 9:00 PM