MUHAMMAD Muhammad Mifral Muqri dipatuk anak ular di bahagian anak jari kaki kiri ketika mahu memakai kasut sekolah dalam kejadian di Pasir Tumboh, dilaporkan stabil dan sudah dibenar keluar dari  wad HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
MUHAMMAD Muhammad Mifral Muqri dipatuk anak ular di bahagian anak jari kaki kiri ketika mahu memakai kasut sekolah dalam kejadian di Pasir Tumboh, dilaporkan stabil dan sudah dibenar keluar dari wad HUSM Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Rosliza Mohamed


PELAJAR lelaki tingkatan tiga dipatuk anak ular ketika mahu memakai kasut sekolah dalam kejadian di Pasir Tumboh, Kota Bharu, semalam.

Bagaimanapun, mangsa, Muhammad Mifral Muqri Majid, 15, dilaporkan stabil dan sudah dibenar keluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, 3.30 petang hari ini.

Ibunya, Che Azyumi Azizi, 35, berkata anak sulung daripada lima beradik itu memberitahu dia dipatuk ular di bahagian anak jari kaki kiri ketika hendak memakai kasut sekolah di tangga rumah pada 7 pagi.

Ular itu dipercayai berada di dalam kasut sekolah Muhammad Mifral.

“Ketika itu Muhammad Mifral memukul anak ular berwarna hitam dengan kasut sekolah sebelum memberitahu saya.

“Kemudian dia memberitahu secara tiba-tiba bahagian kaki kirinya merasa kebas dan pening menyebabkan saya segera membawanya ke HUSM untuk pemeriksaan lanjut.

“Doktor memberitahu ada satu kesan gigitan di bahagian bawah anak jari kaki kirinya, manakala racun belum merebak pada keseluruhan badan Muhammad Mifral,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, keluarganya bersyukur kerana Muhammad Mifral terselamat, namun tidak mengetahui jenis anak ular yang berada di dalam kasut sekolahnya.

“Keluarga saya baru menyewa beberapa bulan rumah di Pasir Tumboh, selain kawasan rumah yang mempunyai semak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 4:56 PM