Murid perempuan SK Chembong yang dipercayai dipatuk ular dirawat di HTJ
Murid perempuan SK Chembong yang dipercayai dipatuk ular dirawat di HTJ
Alias Abd Rani

Rembau: Murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong, di sini pengsan dipercayai akibat dipatuk ular pagi tadi.

Dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa dikatakan tiba-tiba terjatuh ketika bermain di padang sekolah berkenaan, sebelum tidak sedarkan diri.

Difahamkan beberapa rakannya mendakwa mereka ternampak ular berhampiran lokasi mangsa rebah.

Sumber berkata, mangsa dihantar ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ), dekat sini untuk rawatan lanjut.

"Buat masa ini kita difahamkan doktor masih menjalankan pemeriksaan lanjut terhadapnya.

"Malah, mangsa dilaporkan dalam keadaan sedar dan stabil. Kita juga difahamkan doktor mengesan kesan gigitan atau patukan pada bahagian kaki, namun belum dapat memastikan sama ada ia adalah kesan patukan ular," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan, Rusni Ab Jalil dilaporkan akan membuat sidang media mengenai kes itu di SK Chembong, pagi esok.

Ini kejadian kedua dalam tempoh kurang 48 jam membabitkan murid dipatuk ular selepas seorang murid perempuan tahun satu Sekolah Kebangsaan Dato Hashim 1, Pengkalan Chepa, Kelantan maut dipercayai dipatuk seekor ular di betis kirinya kira-kira 10.30 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 11:16 PM