ANGGOTA bomba membantu penduduk menarik bot yang dinaiki pemancing terbabit, malam ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membantu penduduk menarik bot yang dinaiki pemancing terbabit, malam ini. FOTO Ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi


ENAM lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun diselamatkan nelayan selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ribut berhampiran Pulau Mentagor kira-kira 1 kilometer dari Pulau Pangkor, malam ini.

Difahamkan, kesemua mangsa berasal dari Kampar dipercayai menyewa sebuah bot untuk memancing sekitar Pulau Pangkor.

Mangsa yang diselamatkan ialah Muhammad Hazwan Zainal, 29, Muhamad Zubir Suhaimi, 28, Shahril Zakaria, 29, Mohd Zulkarnain Sohaimen, 32, Mohd Faisal Abd Majid, 35 dan Mohamed Fadzrul Mohd Faisal, 8.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Sukardi Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 9.20 malam sebelum sepasukan anggota ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sebaik tiba mendapati kesemua enam mangsa sudah diselamatkan orang awam.

“Bot berkenaan dipercayai digunakan untuk memancing dan semua mangsa diselamatkan oleh nelayan yang juga penduduk kampung berhampiran,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihak bomba kemudian membuat pemantauan kawasan sekitar, manakala bot dinaiki mangsa ditunda penduduk setempat dan mengalami kerosakan di bahagian bumbung serta enjin.

“Semua mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor untuk pemeriksaan dan difahamkan kesemuanya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 11:22 PM