LELAKI menerima rawatan awal selepas ditikam rakan di Pasar Awam Taman Selamat. FOTO ihsan Polis
LELAKI menerima rawatan awal selepas ditikam rakan di Pasar Awam Taman Selamat. FOTO ihsan Polis
Shamsul Munir Safini


ANGKARA dendam lama, lelaki berusia 61 tahun parah ditikam pisau lipat dalam pergaduhan di Pasar Awam Taman Selamat, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, rakan lama mangsa berusia 59 tahun menyerangnya dipercayai akibat masalah peribadi sehingga berlaku pergelutan yang menyebabkan dia ditikam di peha kiri dan beberapa bahagian badan lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika bergelut, suspek juga cedera di kepala akibat terhantuk dengan benda tumpul menyebabkan dia terpaksa menerima tiga jahitan.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri sebelum satu laporan polis dibuat berhubung kejadian.

"Tidak beberapa lama selepas itu, suspek kemudian ditahan polis sebelum siasatan awal mendapati suspek mengaku menggunakan sebilah pisau lipat miliknya yang dibawa ke tempat kejadian untuk menyerang mangsa.

"Selepas kejadian suspek melarikan diri dan membuang sebilah pisau yang digunakan ke dalam longkang dan perbuatannya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berhampiran lokasi kejadian.

"Suspek kemudian menunjukkan tempat senjata dibuang dan kita berjaya menemui sebilah pisau lipat sepanjang tiga inci berhulu putih yang digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Menurutnya, mangsa cedera di paha kiri, pipi kiri dan leher serta dilaporkan berada dalam dalam keadaan stabil.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut kerana kecederaan yang dialami di bahagian pahanya memerlukan proses pembedahan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 4:03 PM