Suspek diikat selepas ditahan orang ramai. FOTO ihsan polis
Suspek diikat selepas ditahan orang ramai. FOTO ihsan polis
Shamsul Munir Safini


LELAKI berusia 19 tahun diberkas orang ramai selepas menikam seorang lelaki dalam kejadian ragut di Alma, 5.55 petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang sedang berjalan didatangi suspek bermotosikal sebelum diragut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa ditikam beberapa kali oleh suspek selepas cuba melawan.

Katanya, mangsa cedera di dada kiri, di belakang badan dan di bahu kiri.

Menurutnya, dalam keadaan berlumuran darah, mangsa berlari meminta pertolongan di medan selera berdekatan.

Nik Ros Azhan berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu bertindak mengejar dan memberkas suspek.

Katanya, mangsa diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

"Suspek diserahkan kepada polis dan direman tujuh hari sehingga 22 Oktober ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 1:22 PM