Rafidah Mat Ruzki


UMNO Selangor melihat cadangan menggunakan logo sendiri berbanding Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini sebagai peluang untuk menilai penerimaan orang Melayu terhadap parti itu.

Timbalan Pengerusinya Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, beliau tidak merasakan pengundi keliru jika calon menggunakan logo UMNO, dan bukan logo BN seperti kebiasaannya.

Katanya, cadangan menggunakan logo UMNO pada PRK Sungai Kandis tentu disukai ahli parti itu yang baru saja selesai pemilihan akhir bulan lalu.

“Elok tu. Kenapa tidak? Kami orang UMNO. Sudah tentu kami suka kalau logo sendiri digunakan.

“Kita tidak bercakap semata-mata hal peluang sahaja. Kita nak nilai di mana UMNO pada mata orang Melayu sekarang. Saya yakin rakyat tak keliru (apabila tidak menggunakan logo BN),” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam supaya UMNO bertanding di PRK Sungai Kandis serta menggunakan logo parti itu berbanding logo BN seperti kebiasaannya.

Pada masa sama, Mat Nadzari berkata, cadangan penggunaan logo UMNO berbanding BN tidak pernah dibincangkan sama ada di peringkat cawangan mahupun bahagian di negeri itu.

“Ini pertama kali. Ada pelbagai pandangan tidak terkecuali dari kejauhan suara akar umbi.

“Akhirnya kita setuju, tertakluk kepada keputusan UMNO pusat. Kita akan akur,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada calon untuk PRK Sungai Kandis sudah dibincangkan, Mat Nadzari berkata, UMNO Selangor bersetuju soal itu diputuskan oleh UMNO Pusat.

Katanya, UMNO Selangor tidak membincangkan siapa yang perlu dicalonkan untuk PRK Sungai Kandis.

“Kita setuju untuk (UMNO) Pusat yang buat keputusan... tiada dibincangkan di peringkat pengurusan UMNO Selangor,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia ketika dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma, kurang dua bulan selepas mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 21 Julai ini sebagai hari penamaan calon, manakala 4 Julai sebagai hari mengundi.

Berita berkaitan

PRK Sungai Kandis: Medan ujian buat UMNO

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 9:16 PM