LOKE. FOTO Arkib NSTP
LOKE. FOTO Arkib NSTP
Oleh Rizanizam Abdul Hamid


SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, dilantik Ketua Parlimen DAP baharu bagi penggal ke-14 Dewan Rakyat menggantikan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang dalam kenyataannya seperti disiarkan portal rasmi DAP hari ini berkata, beliau akan menjadi penyokong kerajaan buat pertama kali sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969.

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat sudah membuat keputusan bahawa Ketua Parlimen DAP penggal ke-14 ialah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

“Saya akan menjadi penyokong kerajaan di Parlimen buat pertama kali sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969,” katanya.

Menurut beliau, pelantikan Ahli Parlimen Seremban itu, yang juga Menteri Pengangkutan, dibuat memandangkan beliau adalah salah seorang pemimpin kanan parti.

Beliau pada masa yang sama, turut mengumumkan DAP akan memberi tumpuan kepada Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai negeri ‘barisan hadapan’ dalam pengukuhan perpaduan, keadilan, kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

“Objektif Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai negeri ‘barisan hadapan’ ialah untuk memastikan empat negeri ini akan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) seiring dengan kerajaan PH peringkat Persekutuan.

“Usaha ini juga akan dicapai melalui kerjasama erat dengan parti komponen PH yang lain,” kata Kit Siang dalam laporan itu.

Sementara itu, Loke yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, ketika dihubungi NSTP petang tadi berkata, beliau tidak tahu mengenai pelantikan terbabit.

“Bukan, saya tidak boleh komen kerana berada dalam mesyuarat,” katanya ringkas, enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 8:59 PM