GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Teoh Pei Ying


LELAKI melecur di bahagian belakang badan dan muka selepas disimbah asid oleh dua lelaki tidak dikenali, ketika mangsa memandu kereta di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur, semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang berusia 40-an dan menghantarnya ke Hospital Tong Shin, untuk rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, ketika kejadian, lelaki itu memandu Audi di jalan berkenaan.

Beliau berkata, sebaik tiba di hadapan Olympia Tower, dua lelaki yang menaiki motosikal secara tiba-tiba menghampiri kenderaan mangsa.

“Suspek dipercayai memecahkan cermin tingkap kereta sebelum menyimbah asid terhadap lelaki itu,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, akibat kejadian, mangsa melecur di bahagian belakang dan sebelah kanan mukanya.

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sudah pindahkan ke Pusat Perubatan Prince Court untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu Rudy berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai memakai helmet dan jaket berwarna hitam ketika melakukan jenayah berkenaan.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian dan giat memburu suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kerana dengan sengaja menyebabkan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 1:18 AM