Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


PELAJAR perempuan berusia 17 tahun dipercayai menjadi mangsa serangan seksual oleh lelaki warga asing di di sebuah rumah di Chukai, Isnin lalu.

Mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah di Dungun mendakwa dipeluk, dicium dan diraba oleh lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebelum kejadian, mangsa menaiki bas ekspres di Kuantan untuk pulang ke sekolahnya.

Beliau berkata, dia kemudian dipercayai berkenalan dengan suspek yang duduk di sebelahnya di dalam bas berkenaan.

“Ketika bas berhenti rehat, suspek dikatakan menawarkan makanan yang dibelinya kepada mangsa.

“Bagaimanapun, mangsa menolak tetapi dipercayai memakan gula-gula yang ditawarkan lelaki terbabit.

“Sebaik tiba di hadapan sekolahnya di Dungun, mangsa mendakwa bahunya ditepuk dari arah belakang dan selepas itu, dia tidak ingat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian mendapati dirinya berada di sebuah bilik di sebuah rumah.

Katanya, tidak lama kemudian, suspek masuk ke dalam bilik itu dan dipercayai baring di sebelah remaja itu.

“Suspek juga dikatakan cuba memeluk mangsa namun mangsa mengelak,” katanya.

Menurutnya, suspek keluar untuk membeli makanan dan mangsa mengambil kesempatan itu untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, ketika mahu keluar dari rumah, suspek dipercayai tiba-tiba menahan mangsa sebelum memeluk, mencium dan meraba remaja itu.

“Bagaimanapun, remaja itu berjaya melarikan diri selepas memukul suspek. Dia kemudian meminta bantuan pekerja di sebuah stesen minyak berhampiran untuk menghubungi polis,” katanya.

Katanya, susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Air Jerneh.

“Polis giat mengesan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 4:13 PM