PASUKAN Batalion Ke Enam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) bergambar bersama penyeludup warga asing dan tempatan serta daun ketum dan lori yang telah diubah suai untuk menyeludup 637 kilogram daun ketum bernilai lebih RM57,000 ke negara Thailand. FOTO/IHSAN ATM

Noorazura Abdul Rahman

KEGIATAN dua lelaki cuba menyeludup 637 kilogram (kg) daun ketum berjaya dikesan anggota keselamatan yang mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand, berdekatan Pos Sahara, dekat Padang Terap, semalam.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang melakukan rondaan terserempak lori yang dinaiki dua lelaki terbabit ketika rondaan pada 3.30 petang.

"Pasukan berkenaan diketuai Kapten Mohd Khairuddin Mohd Anuar bersama tiga anggota kemudian mengarahkan pemandu menghentikan lori untuk pemeriksaan dan menemui muatan bata.

LORI yang telah diubah suai untuk menyeludup 637 kilogram daun ketum bernilai lebih RM57,000 ke negara Thailand. FOTO/IHSAN ATM
LORI yang telah diubah suai untuk menyeludup 637 kilogram daun ketum bernilai lebih RM57,000 ke negara Thailand. FOTO/IHSAN ATM

"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut di bahagian bawah lori mendapati terdapat 42 bungkusan hitam mengandungi daun ketum disorokkan pada bahagian yang diubahsuai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 43 tahun yang juga rakyat tempatan dan rakannya lelaki warga Thailand berusia 36 tahun kemudian ditahan untuk tindakan lanjut.

Katanya, turut dirampas lori dianggarkan bernilai RM20,000 dan 370 bata bernilai RM55 serta dua telefon bimbit menjadikan jumlah keseluruhan rampasan melebihi RM77,000.

"Kedua-dua lelaki terbabit dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 2:52 PM