LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Nor Fazlina Abdul Rahim


PERKAHWINAN kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan peraih getah yang diadakan di Golok, Thailand pada 18 Jun lalu, dilakukan tanpa kebenaran Majlis Agama Islam Narathiwat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Siti Zailah Mohd Yusof ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sendiri sudah berjumpa dengan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Shafie sebaik mengetahui kes berkenaan.

Beliau berkata, menerusi pertemuan itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat turut menjelaskan bahawa undang-undang di negara berkenaan tidak membenarkan perkahwinan membabitkan pasangan bawah umur.

"Kita menyambut baik siasatan awal yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya kejadian sebegini tidak lagi berulang atau terlepas pandang.

"Pada masa sama, kita berharap masyarakat supaya tidak menangguk di air yang keruh dengan menokok tambah kes ini dengan isu yang tidak berkaitan.

"Biar Hakim Mahkamah Syariah meneliti setiap kes dengan saksama mengikut pertimbangan agama dan undang-undang, latar belakang, kebajikan, serta faktor penting yang lain sebelum membenar atau tidak membenarkan permohonan perkahwinan remaja bawah umur," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Siti Zailah turut khuatir sekiranya isu berkenaan tidak diselesaikan secara baik oleh pihak berwajib, ia akan menimbulkan polemik.

"Apatah lagi, isu ini membabitkan seorang kanak-kanak di bawah umur yang sepatutnya dijaga, dibelai dan disayangi dari sudut emosi, fizikal dan mental.

"Kita mengharapkan penyelesaian bijaksana dapat dilakukan demi kebaikan semua pihak, terutama sekali kepada masa depan kanak-kanak tersebut," katanya.

Berita berkaitan:

'Madu' berusia 11 tahun akui sudah baligh

[UPDATE] 'Ambo saye Abe...'

'Maduku budak 11 tahun'

[UPDATE] Perlu mohon kebenaran mahkamah

[UPDATE] Nak ikut sunnah Nabi SAW katanya...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 6:38 PM