POLIS membawa mayat seorang lelaki, Asman Ayub, 46, yang ditemui dalam keadaan sudah berulat di bawah pohon petai di Kampung Paya Lubuh, Tangga Batu untuk  dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat. FOTO Nur Saliawati Salberi
POLIS membawa mayat seorang lelaki, Asman Ayub, 46, yang ditemui dalam keadaan sudah berulat di bawah pohon petai di Kampung Paya Lubuh, Tangga Batu untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat. FOTO Nur Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


MAYAT lelaki ditemui sudah berulat di bawah pohon petai di Kampung Paya Lubuh, Tangga Batu, Melaka, pagi tadi.

Mayat Asman Ayub, 46, ditemui seorang penduduk yang sedang membersihkan kebunnya 9.45 pagi.

Difahamkan, mangsa maut selepas terjatuh dari pokok petai setinggi kira-kira 15 meter.

Penduduk, Ramlah Osman, 63, berkata dia tidak menyangka kehilangan lelaki berkenaan sejak beberapa hari lalu terjawab dengan penemuan mayatnya pagi tadi.

“Kali terakhir berjumpanya pada hari Ahad dan saya mulai curiga kerana selepas itu tiada lagi kelibatnya, sedangkan sebelum ini setiap hari dia akan datang ke sini.

“Kira-kira 10 pagi tadi, sebaik tiba di rumah saya terkejut melihat penduduk kampung memenuhi kawasan belakang selain dimaklumkan Man (Asman) sudah meninggal," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, petang tadi.

Ramlah berkata, dia ada terhidu bau busuk tetapi menyangkakan bau itu adalah daripada sisa ayam yang diletakkan sementara di belakang rumah sebelum dibuang ke tempat sampah.

“Langsung saya tidak sangka bau busuk yang dibawa angin datangnya dari mayatnya yang sudah berulat di kawasan kebun di belakang rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Siasatan awal dilakukan pasukan forensik di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal kira-kira tiga hari lalu selain pemeriksaan badan mendapati terdapat kesan kecederaan dibahu.

"Mayat mangsa di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 4:52 PM