Saadiah Ismail


TANAH rizab kolam takungan banjir Sungai Jinjang dikhuatiri tidak mampu menampung lebihan air ketika hujan lebat disebabkan oleh pembinaan kondominium mewah.

Tanah seluas 15 hektar itu kini hampir separuh daripadanya sudah ditambak tanah dan boleh mengakibatkan banjir teruk kepada penduduk setempat apabila kolam takungan semakin kecil.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata tanah rizab seluas 32 hektar termasuk kolam takungan itu dijual kepada syarikat berkaitan parti politik dan syarikat akhbar tanpa melalui tender terbuka pada harga RM68 bagi satu kaki persegi.

Katanya, kemudian tanah berkenaan dijual pada harga yang tinggi kepada pemaju swasta yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat dari China untuk pembinaan kondominium mewah.

Beliau mendakwa sepatutnya harga ketika itu lebih daripada RM250 satu kaki persegi, namun disebabkan oleh desakan orang kenamaan untuk mempercepatkan proses jualan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) terpaksa meluluskan segera.

“Dalam pertemuan dengan KSN baru-baru ini, beliau sendiri tidak mengetahui bahawa tanah rizab dijual itu untuk pembinaan 14,000 unit kondominium mewah.

“Walhal kawasan berkenaan seharusnya memenuhi keperluan penduduk setempat dengan pembinaan rumah kos rendah, projek perumahan rakyat dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Lip Eng juga berkata, KSN sendiri mengesahkan dalam pertemuan bahawa tanah rizab itu dijual kepada syarikat berkaitan parti politik dan syarikat akhbar itu tanpa membuka tender untuk pembinaan kondominium mewah.

“Ini boleh dianggap sebagai salah guna kuasa. Jika bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dulu didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membeli harta persendirian di bawah harga pasaran, tidakkah tindakan Najib ini sama juga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping, berkata saiz kolam takungan banjir yang semakin mengecil itu dikhuatiri hilang fungsi sebagai tebatan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 11:40 PM
LIM Lip Eng (kiri) bersama Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping (tengah) dan Ahli Jawatankuasa DAP Wilayah Persekutuan, Lim Ching How ketika sidang media berhubung tanah yang dijual untuk projek kondominium mewah. FOTO Eizairi Shamsudin
LIM Lip Eng (kiri) bersama Ketua Pusat Perkhidmatan Komuniti Kepong, Yee Poh Ping (tengah) dan Ahli Jawatankuasa DAP Wilayah Persekutuan, Lim Ching How ketika sidang media berhubung tanah yang dijual untuk projek kondominium mewah. FOTO Eizairi Shamsudin