MOHD Khalil (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 13 2018 sempena Aidilfitri di Hentian Plaza Tol Skudai arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
MOHD Khalil (empat dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 13 2018 sempena Aidilfitri di Hentian Plaza Tol Skudai arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Fahmi Mohd Yusof


TIDAK sampai sembilan jam melarikan diri dari lokap Balai Polis Gelang Patah, dua suspek diberkas di Kuala Sedili, Kota Tinggi pada 2.45 petang, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata kedua-dua suspek itu diberkas di sebuah premis di kawasan berkenaan.

Katanya, pihaknya berjaya memberkas semula dua suspek itu hasil risikan dan maklumat dikumpul sejurus mereka melarikan diri dari lokap pada 6.15 pagi.

“Ketika ditahan semula, suspek dalam keadaan lengkap berpakaian dan mereka kini ditahan semula untuk siasatan lanjut.

“Polis sudah membuat laporan dan masih menyiasat dua anggota yang bertugas ketika suspek meloloskan diri mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Selamat 13 2018 sempena Aidilfitri di Hentian Plaza Tol Skudai arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Johor Bahru, hari ini.

Dalam kejadian itu, dua suspek dikenali sebagai Muhamad Firdaus Irwan, 25, beralamat terakhir di Jalan Kasawari, Larkin Jaya, manakala seorang lagi dikenali sebagai Nolmat Halil Abd Jalil, 34, berasal dari Tanjung Sedili, Kota Tinggi, melarikan diri ketika Penyelia Pejabat Pertanyaan Balai Polis Gelang Patah membuka pintu sel untuk mengeluarkan bekas sisa makanan dari dalam lokap.

Kedua-dua suspek merempuh pintu lokap dan anggota bertugas dan melarikan diri menerusi pintu hadapan pejabat pertanyaan dan cuba ditahan dua anggota polis yang bertugas di balai itu, tetapi gagal.

Mereka kemudian melarikan diri melalui pintu hadapan dan terus ke laluan belakang balai dengan hanya memakai seluar dalam.

Muhamad Fidaus ditahan pada 6 Jun lalu berkait kes Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.

Manakala Nolmat Halil ditahan pada 6 Jun lalu berkait kes mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal dan tempoh tahanan reman bagi kedua-dua suspek itu berakhir hari ini (11 Jun).

Sementara itu, Mohd Khalil berkata, sebanyak 13 agensi terbabit dalam Op Selamat 13 di Johor yang dilancarkan hari ini, diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Agensi yang menjadi ‘rakan kongsi’ dalam Op Selamat ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Seramai 430 anggota PDRM Johor ditugaskan sepanjang Op Selamat dijalankan iaitu 8 Jun hingga 22 Jun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 6:13 PM