MOHD Najib belum buat keputusan untuk pertahan jawatan atau tidak. -Foto fail
MOHD Najib belum buat keputusan untuk pertahan jawatan atau tidak. -Foto fail
Ifwan Tun Tuah


PENYANDANG EXCO Pemuda UMNO, Mohd Najib, 40, yang juga anak sulung Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, belum membuat keputusan untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang itu berkata, tumpuannya ketika ini adalah memastikan pergerakan itu kekal aktif di peringkat akar umbi selepas menerima kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keputusan PRU-14 sememangnya di luar jangkaan banyak pihak dan tidak dapat dinafikan ahli dan pemimpin Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang terutama di 42 cawangan terkesan.

“Kita menjangkakan akan ada pengurangan ahli, malah mungkin ada Cawangan Pemuda yang ditutup kerana pelbagai sebab dan kekangan dihadapi ahli dan pemimpinnya, namun berharap tidak banyak yang terjejas.

“Jadi saya belum sempat berfikir dengan mendalam mengenai pemilihan. Saya masih ada masa dan mungkin minggu depan akan membuat keputusan. Apa pun, saya tidak pernah ketinggalan bertanding jawatan EXCO sejak 2008,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau tewas pada pemilihan jawatan EXCO Pemuda UMNO pada 2008 namun menang pada pemilihan 2013 sebelum dilantik sebagai Pengerusi Biro BN dan 1Malaysia oleh Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Najib menjadi Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Telok Kemang pada 2004 hingga 2008 sebelum menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 5:09 PM