SALMAH (kanan) menunjukkan kesan pembedahan membuang tempurung kepala  Akmal selepas  dilanggar sebuah motosikal ketika ditemui di rumahnya di Kuala Triang. FOTO/SHAHRINNAHAR LATIB
SALMAH (kanan) menunjukkan kesan pembedahan membuang tempurung kepala Akmal selepas dilanggar sebuah motosikal ketika ditemui di rumahnya di Kuala Triang. FOTO/SHAHRINNAHAR LATIB
Shahrinnahar Latib


JIKA melihat keadaan Akmal Haziq Suhaimi yang aktif dan ceria, pasti ramai tidak menyangka bahawa kanak-kanak berusia lapan tahun itu pernah koma selama dua minggu akibat parah di kepala selepas dilanggar sebuah motosikal, pada 6 Mac lalu.

Malah, doktor di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh yang merawat kanak-kanak itu juga tidak memberi jaminan sama ada murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang berkenaan akan sedar atau koma selamanya.

Ibunya, Salmah Mohd Ali, 42, bagaimanapun berkata, dia bersyukur kerana anaknya itu sembuh, malah doktor sendiri terkejut melihat perkembangan positif Akmal Haziq sepanjang 17 hari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Doktor mencuba pelbagai kaedah termasuk memberikan tiga jenis ubat khas, namun dia tidak memberikan sebarang tidak balas. Sehinggalah doktor memaklumkan kepada saya akan memasukkan satu lagi ubat tetapi masih tidak memberikan apa-apa jaminan.

“Malah, saya dan suami (Suhaimi Sulaiman, 49 tahun) hampir berputus asa apabila melihat keadaan anak yang koma. Doktor kata peluang untuk saya hidup hanya 50-50, tetapi saya tidak pernah putus berdoa. Alhamdulillah, dia sedar selepas dimasukkan ubat terakhir,” katanya ketika ditemui di Bera, hari ini.

Menceritakan kejadian itu, Salmah berkata, anak keenam daripada sembilan beradik mengalami kemalangan ketika berjalan kaki ke kawasan lapang berdekatan rumahnya di Kuala Triang di sini untuk bermain bersama rakan.

Katanya, akibat kemalangan itu, Akmal Haziq mengalami mengalami pendarahan serius di bahagian kepala dan terpaksa menjalani pembedahan di bahagian belakang kepala sebanyak tiga kali pada hari yang sama di HOSHAS.

“Doktor memberitahu pembuluh darah anak saya pecah dan rahangnya patah malah tempurung kepala bahagian hadapan juga terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku,” katanya.

Salmah berkata, anaknya yang masih bersekolah itu diberikan cuti sakit dan masih menjalani rawatan susulan di HOSHAS, pada setiap Khamis.

Katanya, anaknya dijangka menjalani satu lagi pembedahan untuk memasukkan tempurung kepala tiruan pada Julai depan dengan anggaran kos antara RM5,000 hingga RM6,000.

“Saya pun tidak tahu bagaimana mahu membayar kos pembedahan itu. Saya tidak bekerja, suami pula hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan tidak seberapa.

“Buat masa ini, Akmal Haziq perlu dipantau supaya kesihatannya tidak terjejas, selain memastikan bahagian kepala depan (tanpa tempurung) tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Justeru orang ramai yang ingin membantu Akmal Haziq, boleh terus menyalurkan sumbangan ke dalam nombor akaun 0611329000127441 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Salmah Binti Mohd Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mei 2018 @ 12:50 PM