GOBIND (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang. FOTO BERNAMA
GOBIND (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet berhubung kebenaran mendapatkan hak penyiaran siaran langsung perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 kepada peminat tempatan.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini dan berharap akan mendapat jawapan segera.

"Saya akan bawa isu ini ke Kabinet pada Rabu dan saya harap kita akan dapat jawapan yang memihak pihak kita.

"Bagi saya, ini adalah satu daripada cara bagi kita mempromosi kembali RTM (Radio Televisyen Malaysia). Saya rasa kita perlu melakukannya, kita perlu meningkatkan bilangan penonton RTM.

"Ini acara antarabangsa. Pada saya, cukup penting supaya ia disiarkan secara langsung oleh RTM yang menjadi rangkaian televisyen rasmi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan pertamanya ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Muar yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman menyuarakan pendapat supaya KKMM cuba mencari jalan untuk membawa siaran langsung Piala Dunia 2018 kepada peminat di tanah air.

Perlawanan bola sepak Piala Dunia adalah acara yang berlangsung empat tahun sekali dengan kali ini, Russia dipilih sebagai tuan rumah.

Sebanyak 32 negara daripada lima konfederasi bola sepak akan berentap di 12 venue bagi merebut piala berprestij itu.

Sepak mula perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 akan diadakan pada 14 Jun membabitkan tuan rumah, Russia, menentang Arab Saudi dalam perlawanan kumpulan A di Stadium Luzhniki, Moscow, pada 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 5:20 PM