FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Shafuan Khairi


SEMUA polis di Kelantan yang berpangkalan di sempadan dengan Thailand diarah meningkatkan pemantauan ke atas mana-mana cubaan menyeludup mercun dan bunga api ke negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, mereka diminta meningkatkan pemeriksaan ke atas penjualan bahan terlarang itu.

“Penjualan mercun dan bunga api dilarang di negara ini. Oleh itu, saya mengarahkan semua ketua polis daerah yang berada di sempadan seperti di Tumpat dan Rantau Panjang untuk meningkatkan pemeriksaan ke atas penjualan barang terlarang ini.

“Tindakan tegas bakal diambil ke atas individu yang memiliki mercun dan bunga api terbabit.

“Pihak polis tidak akan bertolak ansur kepada orang yang menjual atau memiliki barang terlarang itu,” katanya.

Beliau menasihati ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka bermain dengan mercun dan bunga api bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Ibu bapa perlu memberi perhatian lebih kepada anak mereka dan melarang mereka daripada membeli dan bermain mercun atau bunga api.

“Kami tidak mahu sebarang insiden tidak diingini berlaku termasuk kehilangan jari atau kecederaan lain kepada anak mereka akibat mercun dan bunga api,” katannya.

Tahun lalu, lebih lima kes kanak-kanak cedera semasa bermain mercun dan bunga api dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:20 AM