CADANGAN laluan alternatif. FOTO AMRAN YAHYA
CADANGAN laluan alternatif. FOTO AMRAN YAHYA
Amran Yahya


BERMULA tengah malam ini, Jalan Tampin-Kuala Pilah akan ditutup untuk semua jenis kenderaan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah, Ir. Mohd Faizul Mohd Ali berkata, penutupan disebabkan struktur jambatan di Seksyen 23.6 di kawasan Johol didapati tidak selamat dan berbahaya untuk keselamatan kepada pengguna jalanraya.

"Ia jambatan lama, dibina sekitar tahun 1950-an yang terletak di kawasan rendah dan sering berlaku hakiasan akibat hujan lebat menyebabkan strukturnya tidak lagi selamat.

"Oleh itu, kami mengambil keputusan untuk menutup laluan tersebut buat sementara waktu bagi membolehkan kerja membaik pulih dilakukan,"katanya ketika dihubungi.

Menurut Ir. Mohd Faizul, sepanjang tempoh penutupan tersebut, beberapa laluan alternatif disediakan bagi membolehkan pengguna jalanraya menuju ke destinasi masing-masing.

"Bagi laluan alternatif pertama, pengguna dari Tampin ke Kuala Pilah boleh melalui Laluan N14 (persimpangan Inas) - Laluan N123 (Inas - Senaling) - Laluan N24 dan masuk semula ke FT009 (Persimpangan Pekan Senaling).

"Manakala laluan alternatif kedua, pengguna dari Kuala Pilah ke Tampin akan melalui laluan N22 (Senaling - Kepis) - laluan N17 (Bahau - Dangi) dan masuk semula ke persimpangan FT009, Johol," katanya.

Menurut Ir. Mohd Faizul, kerja-kerja awal penutupan akan dilaksanakan 11 malam ini dan tepat 12 tengah malam, penutupan jalan akan bermula.

Sementara itu, beliau menasihatkan supaya pengguna jalanraya sentiasa mematuhi arahan serta papan tanda yang disediakan oleh pihak JKR bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 6:20 PM