Norin Jwisha atau Puteri Nur Sarah Alisya ketika  berusia enam tahun.
Norin Jwisha atau Puteri Nur Sarah Alisya ketika berusia enam tahun.
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Seorang gadis merayu orang ramai mengesan ibu bapa kandungnya yang tidak pernah bertemu sejak dilahirkan berikutan dibesarkan orang lain.

Joice Norin Jwisha, 18, yang kini tinggal di Kampung Nawar, Pokok Sena berkata, sehingga kini dia tidak tahu lokasi ibu bapanya yang dipercayai berpisah sebelum dia dilahirkan.

“Saya tak pernah kenal mereka, bapa saya bernama Samidin Sulaiman, 64, dan alamat terakhir di Kampung Berembang Hilir, Jalan Jelatek, Kuala Lumpur manakala ibu saya Warsinten, 53, di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

“Ibu bapa saya berketurunan Indonesia, tetapi bapa mendapat taraf penduduk tetap. Saya melakukan pelbagai usaha mencari mereka termasuk di alamat terakhir tapi hampa.

“Sejak kecil saya dibesarkan wanita yang dipanggil mak cik di Kuala Lumpur sehingga berusia 10 tahun, selepas itu saya ditinggalkan,” katanya, semalam.

Menurut Jwisha atau nama barunya Puteri Nur Sarah Alisya, selepas ditinggalkan, dia tinggal bersama ibu angkatnya Nor Idayu Abdul Latif, 30, di Bandar Baru Bangi, Selangor sebelum berpindah ke Pokok Sena, baru-baru ini.

Sementara itu, Nor Idayu berkata, dia berharap orang ramai dapat membantu Puteri Nur Sarah mengesan ibu bapanya di samping memenuhi prosedur mahkamah untuk mengesahkan hak penjagaan gadis itu.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Pokok Sena, Mohd Jefri Mukhti di talian 04-7821915/16/17.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:24 AM