ARLINDA dibantu suami berniaga Nasi Beriani Air Asam di tapak Pasar Malam Seksyen 19, semalam.
ARLINDA dibantu suami berniaga Nasi Beriani Air Asam di tapak Pasar Malam Seksyen 19, semalam.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Ia bukan warisan turun temurun namun Nasi Beriani Air Asam yang dijual Arlinda Abdul Rahman, 32, adalah hasil resepi yang dicubanya menerusi Internet.

Hasilnya tidak mengecewakan apabila gerai Arlinda di tapak Pasar Malam Seksyen 19 di sini, dikunjungi orang ramai khususnya yang ingin merasai kelainan nasi beriani berkenaan.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia dan suaminya, Faizul Yahya, 34, kali pertama menjual nasi beriani serta kuih-muih di tapak itu tahun ini.

“Resepi nasi beriani ini hanya diambil dari Internet tetapi diolah oleh suami. Saya bukan penggemar nasi beriani namun selepas mencubanya, saya rasa ia boleh dijual.

“Kelainan nasi beriani ini ialah air asam. Kebiasaannya ia diletakkan acar, tetapi saya cuba mengubahnya kerana rasanya juga sedap,” katanya yang juga antara peserta program 5by20 di bawah inisiatif Komuniti Usahawan Coca-Cola (Coca-Cola KU).

Menerusi program itu, Coca-Cola KU melaksanakan komitmen secara global untuk memperkasakan lebih lima juta usahawan menjelang 2020.

Sementara itu, Faizul yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata, proses penyediaan nasi beriani itu dimulakan sejak pagi dengan bantuan isterinya.

ARLINDA melayan pelanggan yang singgah di gerainya.
ARLINDA melayan pelanggan yang singgah di gerainya.

“Isteri hanya suri rumah dan kami tinggal di Pinggiran USJ, jadi lokasi yang agak jauh dari tapak bazar memerlukan kami bersedia dengan lebih awal.

“Pada hari pertama kami memulakan dengan lima kilogram beras dan permintaannya semakin bertambah sehingga ke hari ini,” katanya.

Katanya, meskipun hampir setiap petang di kawasan itu hujan, hasil perniagaannya bertambah disebabkan jumlah pengunjung yang ramai.

“Saya percaya rezeki daripada Allah SWT, dan setiap hidangan dimasak dengan ikhlas, ia dapat memberi pendapatan lebih kepada kami sekeluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 4:11 AM