Abdul Rahemang Taiming


“IBU-ibu yang masih tidur, silalah bangun terus ke dapur, masaklah nasi, ikan dan sayur, untuk hidangan waktu bersahur."

Alunan lagu selain paluan kompang dan tamborin oleh sekumpulan belia pelbagai peringkat umur pasti kedengaran setiap kali bulan Ramadan yang menjadi amalan tradisi di beberapa kampung di Tawau.

Ini termasuk Penduduk Kampung Batu 2 Jalan Apas, di sini, menampilkan keunikan tersendiri sepanjang Ramadan dengan melakukan aktiviti amal seawal 2 pagi dikenali sebagai 'ketuk-ketuk kejut sahur' yang diwarisi dan diamalkan sejak puluhan tahun lalu.

Lebih menarik apabila aktiviti mengejutkan penduduk setempat beragama Islam bangun tidur untuk bersahur itu disertai pelbagai lapisan usia termasuk orang dewasa, belia dan kanak-kanak seawal umur enam tahun.

Kebiasaannya, mereka bergerak secara berkumpulan antara 20 hingga 30 orang berjalan kaki mengelilingi kampung sambil membawa peralatan muzik tradisional seperti kompang, tamborin dan kerincing, bermula 2 pagi dan tamat kira-kira 4 pagi sebelum masuknya waktu imsak.

ANTARA kanak-kanak seawal umur 6 tahun turut menyertai "ketuk-ketuk bangun sahur" di sekitar kampung Batu 2 Jalan Apas, di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANTARA kanak-kanak seawal umur 6 tahun turut menyertai "ketuk-ketuk bangun sahur" di sekitar kampung Batu 2 Jalan Apas, di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming

Acara tradisi itu yang sememangnya amat popular di daerah ini dipercayai mula diperkenalkan sejak awal tahun 1970-an dengan menyelitkan pelbagai unsur nasihat melalui penyampaian lagu rakyat di sepanjang laluan dan hadapan rumah penduduk.

Ia bukan bukan sahaja menghiburkan, malah membantu mengejutkan lena penduduk untuk bersahur.

Bagi memastikan kelancaran aktiviti dari rumah ke rumah, beberapa penduduk kampung terdiri orang dewasa turut menyertainya bagi memantau pergerakan dan keselamatan ahli kumpulan sepanjang aktiviti berkenaan.

Aktiviti sukarelawan seumpama itu lazimnya dilaksanakan di beberapa perkampungan sekitar daerah ini dan ada ketikanya kumpulan terbabit bergabung untuk menjadi satu kumpulan lebih besar, selain menjadikan aktiviti berkenaan lebih menyeronokkan dan meriah.

Bagi penyelaras kumpulan 'ketuk-ketuk kejut sahur' itu, Chivuu Syahputra, 27, atau dikenali sebagai Cikgu berkata, tradisi itu wajar dipelihara dan dikekalkan kerana mempunyai keunikan tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian tradisi masyarakat di Tawau, selain menyemarakkan sambutan Ramadan.

"Tujuan sebenar aktiviti amal ini sebenarnya untuk mengejutkan penduduk kampung untuk bangun bersahur.

"Alhamdulillah, aktiviti ini mendapat sokongan dan sambutan yang baik daripada penduduk dan kami amat berharap generasi muda akan datang dapat mengekalkan warisan turun-temurun ini," katanya kepada NSTP.

Chivuu berkata, aktiviti itu menerima sambutan amat memberangsangkan terutama daripada golongan ibu bapa yang turut memberi galakan kepada anak mereka menyertainya terutama pada hujung minggu.

Bagi murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, Mohd Khushairi Rifdi Mohd Junaidi, saban tahun dia tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti berkenaan.

"Kebiasaannya selepas terawih saya tidur awal bagi memastikan dapat bangun 2 pagi sebelum menyertai rakan lain mengelilingi kampung untuk kejut orang bersahur," katanya yang mahir bermain kompang sejak berumur tujuh tahun.

Aniq Mikael Jaini, 15, pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara berkata, aktiviti itu banyak memberi manfaat kepadanya supaya lebih berdisiplin terutama berkaitan dengan kepentingan amalan bersahur.

"Memang seronok apabila dapat mengejutkan penduduk bangun bersahur kerana bukan sahaja dapat pahala, malah menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW yang menyeru kita supaya bersahur.

"Sejak menyertai kumpulan ini, saya tidak pernah lupa bersahur kerana ia memberi tenaga kepada tubuh badan ketika berpuasa di siang hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 2:24 PM
ANTARA kanak-kanak seawal umur 6 tahun turut menyertai "ketuk-ketuk bangun sahur" di sekitar kampung Batu 2 Jalan Apas, di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
ANTARA kanak-kanak seawal umur 6 tahun turut menyertai "ketuk-ketuk bangun sahur" di sekitar kampung Batu 2 Jalan Apas, di Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming