Rizanizam Abdul Hamid dan Seri Nor Nadiah Koris


BEBERAPA penyokong PKR mula berkumpul di perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras, hari ini, bagi menyatakan sokongan terhadap pembebasan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim esok selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan bersidang di Istana Negara.

Tinjauan wartawan NSTP mendapati, penyokong mula berhimpun sejak 7 pagi untuk mengetahui perkembangan terkini pemimpin reformasi itu.

Malah, petugas agensi media dalam dan luar negara yang membuat liputan hari ini juga dilihat lebih ramai berbanding dua hari lalu.

Pengawal keselamatan hospital juga dilihat membuat pemeriksaan ketat terhadap setiap kenderaan yang ingin masuk bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

ANTARA penyokong Pakatan Harapan yang hadir bagi memberikan sokongan diatas pengampunan penuh Diraja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA penyokong Pakatan Harapan yang hadir bagi memberikan sokongan diatas pengampunan penuh Diraja kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Malam tadi, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ketika ditemui pemberita selepas melawat suaminya itu berkata, beliau yakin Anwar akan dibebaskan esok.

"Insya-Allah tak akan ada penangguhan lagi sebaik sahaja pembebasan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V atas nasihat Perdana Menteri selepas mesyuarat lembaga pengampunan bermula 11 pagi esok.

"Namun, saya minta biarlah proses peralihan kuasa ini berjalan dulu. Kita mesti ada proses undang-undang yang menyeluruh sebelum aktif untuk membina semula negara kesan masalah daripada pemerintahan dahulu selama 60 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 12:54 PM