RASMAN  (tengah),  Rosleli (kiri) dan  Alwiyah (dua dari kiri) ketika hadir ke sidang media pengumuman menyertai PPBM.
RASMAN (tengah), Rosleli (kiri) dan Alwiyah (dua dari kiri) ketika hadir ke sidang media pengumuman menyertai PPBM.
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Johor mengumumkan untuk ‘melompat’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kelmarin, dianggap tindakan tidak bermoral.

Tiga wakil rakyat berkenaan ialah ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari, ADUN Endau, Alwiyah Talib dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, tindakan mahu menyertai pihak lawan oleh pemimpin tempatan atau calon UMNO dan BN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kini menjadi fokus serta perhatian.

Katanya, walaupun tindakan itu satu kebebasan yang harus dihormati oleh parti dan tidak seharusnya dihalang secara keras dan tegas, namun parti beranggapan ia adalah satu tindakan tidak bermoral dan tidak seharusnya dilakukan disebabkan oleh beberapa perkara.

“Pertama, amalan demokrasi Malaysia semakin matang dan subur sejak beberapa pilihan raya yang lalu. Ini menyaksikan kita beralih ke arah sistem dua parti yang dilihat dapat menawarkan satu proses semak dan imbang yang tegas, konstruktif dan berkesan kepada mana-mana parti yang memerintah.

“Malangnya, tindakan ini (lompat parti) adalah sesuatu yang terkebelakang dan sangat tidak selari dengan aspirasi ini.

“Lebih-lebih lagi, apabila kita amat sedar bahawa mana-mana parti yang kalah dalam pilihan raya umum sangat diharapkan menjadi faktor timbal balik atau melakukan semakan, bagi memastikan parti yang memenangi pilihan raya dapat berfungsi dengan baik dan mengotakan janji mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Di samping itu, Mohamed Khaled berkata, kuasa semakan atau timbal balik ini yang diberi juga adalah satu bentuk khidmat kepada bangsa dan negara.

“Kedua, ia adalah satu tindakan yang tidak menyantuni prinsip dan jangkaan demokrasi, ini kerana pihak lawan kepada sesuatu parti adalah pihak yang seharusnya menawarkan ideologi, dasar serta akujanji yang berlainan dengan pihak lain.

“Jadi, tindakan ini boleh dianggap sebagai tindakan yang membelakangkan ideologi, prinsip dan nilai yang selama ini diangkat dan dipromosikan oleh parti yang diwakili.

“Maka, tidak keterlaluan ia boleh dianggap sebagai satu penghinaan serta pengabaian prinsip dan perkara ini sebenarnya terpakai kepada kedua-dua pihak iaitu parti yang ditinggalkan dan parti baru yang disertai,” katanya.

Tambahnya lagi, tindakan tiga wakil rakyat itu adalah satu pengkhianatan kepada harapan, usaha keras dan kepercayaan semua pihak.

“Ini termasuklah kepimpinan parti asal, pendukung, penyokong serta pengundi yang sudah mengundi dan memilih seseorang pemimpin itu di mana mereka bekerja, berkempen dan mengundi di bawah identiti parti yang diwakili oleh calon berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:34 AM