ABANG Johari bercakap kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan malam sempena Persidangan Antarabangsa Infrastruktur ICT dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2018. FOTO Bernama
ABANG Johari bercakap kepada wartawan selepas menghadiri majlis makan malam sempena Persidangan Antarabangsa Infrastruktur ICT dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2018. FOTO Bernama
Mohd Latif Ahmad


KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, menafikan kerajaan negeri berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan tetap bekerjasama memandangkan ada bidang kuasa terletak di bawah kerajaan pusat.

“Tidak (menimbang untuk sertai Pakatan Harapan)…apa yang akan ada ialah kerjasama antara kedua-dua pihak di bawah sistem persekutuan.

“Perlu ada kerjasama kerana beberapa bidang tertentu adalah di bawah kuasa persekutuan, itu sahaja,” katanya kepada pemberita di Kuching, hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, keputusan tidak menyertai PH bukan bererti mereka ingin menjadi menjadi sebuah pembangkang yang kuat, sebaliknya keputusan diambil untuk kepentingan rakyat Sarawak.

Ditanya mengenai pelaksanaan projek yang diumukan sebelum ini, Abang Johari berkata, projek oleh kerajaan negeri tidak terjejas kerana menggunakan dana sendiri.

“Berkenaan projek Kerajaan Persekutuan, saya serahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menentukannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 11:56 PM