(Gambar fail) Lim (kiri) menerima watikah perlantikan calon bagi Parlimen Bagan daripada Chow dalam majlis penyerahan watikah calon ahli DAP bagi PRU-14 baru-baru ini. FOTO Danial Saad
(Gambar fail) Lim (kiri) menerima watikah perlantikan calon bagi Parlimen Bagan daripada Chow dalam majlis penyerahan watikah calon ahli DAP bagi PRU-14 baru-baru ini. FOTO Danial Saad
Audrey Dermawan

AHLI Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow disebut-sebut bakal dilantik sebagai Ketua Menteri selepas penyandangnya, Lim Guan Eng diumumkan akan menganggotai barisan Kabinet sebagai Menteri Kewangan.

Sumber berkata, ia dikukuhkan lagi dengan desas-desus menyatakan hanya nama Chow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu dicadangkan sebagai pengganti Lim.

“Selain itu, faktor penerimaan Chow dalam kalangan kepimpinan komponen parti dalam Pakatan Harapan juga memainkan peranan penting dalam menentukan pemilihannya bagi jawatan berkenaan.

“Ia sudah hampir pasti, beliau juga sudah direstui untuk menjadi Ketua Menteri yang seterusnya,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Semalam, jemputan rasmi Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah bagi jawatan Ketua Menteri diedarkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dengan upacara berkenaan dijadual berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pada jam 10 pagi Isnin ini.

Sebelum ini, Lim memaklumkan Chow berkemungkinan mengisi jawatan Ketua Menteri, jika Ahli Parlimen Bagan itu dipenjara ekoran kes rasuah yang dihadapi ketika ini, selain pendirian itu juga kerap diulangi dalam beberapa siri ceramah DAP, sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

Malah, beliau juga adalah pemimpin paling kanan DAP negeri dan dilantik sebagai Pengerusi DAP Pulau Pinang sejak 5 Disember 1999, selain konvensyen parti itu turut mengiktiraf beliau bagi mengisi jawatan nombor satu negeri itu.

Sementara itu, Chow ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas dakwaan terbabit.

“Barisan Exco kerajaan negeri akan diumumkan kira-kira dua hari selepas acara berkenaan (Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah bagi jawatan Ketua Menteri) selesai dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 6:16 PM