ADLY menandatangani surat pelantikan jawatan Ketua Menteri Melaka yang ke-11. FOTO Khairunisah Lokman
ADLY menandatangani surat pelantikan jawatan Ketua Menteri Melaka yang ke-11. FOTO Khairunisah Lokman
Fairuz Zaidan


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, hari ini

Surat pengisytiharan watikah pelantikan Ketua Menteri Melaka yang baharu itu dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim.

Adly, 47, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, menggantikan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron daripada Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Rabu lalu, Adly yang juga lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan elektrik menewaskan dua pencabarnya, Datuk Yunus Hitam daripada BN dan Muhamat Bedol daripada PAS dengan majoriti 3,159 undi.

Pakatan Harapan memperoleh majoriti mudah selepas menguasai 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

INFO

Adly Zahari

* Tarikh lahir - 15 Februari 1971

* Tempat lahir - Kampung Pulau, Durian Tunggal

* Isteri - Dalilah Awaludin, 48,

* Anak - 7 orang

* Pendidikan - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

* Jawatan

- Pengerusi Pakatan Harapan Melaka (2017-kini)

- Pengerusi Parti Amanah Negeri Melaka (2015-kini)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 4:24 PM