BURUH binaan yang ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah selepas terjatuh dari tingkat 10 bangunan yang dalam pembinaan di Prima Bintawa, di Jalan Daya, Kuching.
BURUH binaan yang ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah selepas terjatuh dari tingkat 10 bangunan yang dalam pembinaan di Prima Bintawa, di Jalan Daya, Kuching.
Ekhwan Haque Fazlul Haque

TANDA tanya kehilangan buruh binaan akhirnya terjawab selepas lelaki itu ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan yang sedang dibina di Prima Bintawa, di Jalan Daya, Kuching, petang semalam.

Mangsa yang berusia 27 tahun dan berasal dari Indonesia ditemui tidak bernyawa kira-kira 6 petang, dipercayai tergelincir ketika melakukan kerja di tapak pembinaan itu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, penyelia lelaki terbabit pada mulanya mencari lelaki terbabit selepas tidak kelihatan selepas tamat waktu bekerja.

Menurutnya, selepas beberapa minit mencari di sekitar bangunan itu, beliau dimaklumkan lelaki terbabit ditemui dalam keadaan berlumuran darah dipercayai terjatuh.

“Mangsa bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan berkenaan dan menyiapkan kerja di tingkat 10, namun selepas tamat waktu bekerja mangsa tidak kelihatan menyebabkan penyelia mencarinya.

“Polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut. Pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

Katanya, siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah yang dapat dikaitkan dengan kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 3:15 PM