PPR Sungai Melana yang dijadikan Rumah Transit Belia Johor.
PPR Sungai Melana yang dijadikan Rumah Transit Belia Johor.
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Johor Bahru: Masalah kos sara hidup terutama bagi pasangan yang baru berkahwin untuk mendapatkan kediaman selesa dalam kawasan bandar adalah antara yang dititik beratkan kerajaan untuk diatasi.

Antara usaha menangani masalah itu ialah dengan mewujudkan inisiatif Rumah Transit Belia untuk mereka menetap sebelum mempunyai keupayaan membeli dan memiliki rumah sendiri.

Di Johor, kerajaan negeri maklum mengenai permasalahan itu dan pada pembentangan Bajet 2018 tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memperkenalkan projek perintis Rumah Transit Belia Johor di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana, di sini.

Menerusi inisiatif dengan kerjasama Jabatan Perumahan Negara di bawah Program Rumah Transit 1Malaysia, ia bertujuan memberi kemudahan perumahan sementara kepada belia yang berkahwin sehingga mereka mampu membeli rumah sendiri yang lebih baik dan selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, mereka yang menerima inisiatif itu hanya perlu membayar sewa RM250 sebulan.

Katanya, sebanyak 390 unit di PPR Sungai Melana akan dijadikan sebagai projek Rumah Transit Belia Johor yang pertama di negeri ini.

MOHAMED Khaled  (tengah) diiringi Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah PPR Permas Jaya, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota  Puteri 2, di kawasan Perindustrian Kota Puteri, Johor Bahru.
MOHAMED Khaled (tengah) diiringi Datuk Bandar MBJB, Amran A Rahman (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Pecah Tanah PPR Permas Jaya, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, di kawasan Perindustrian Kota Puteri, Johor Bahru.

“Ini inisiatif baru untuk golongan belia yang berkahwin berumur 18 hingga 30 tahun dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan dan menetap di Johor lebih dari 10 tahun.

“Mereka boleh tinggal (sewa) di Rumah Transit Belia Johor ini selama tiga tahun sahaja dan selepas tamat tempoh itu, mereka perlu mencari rumah sendiri sama ada beli atau sewa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagi belia, Hamimy Azri, 23, dia menyambut baik inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu kumpulan anak muda yang baru membina keluarga mendapat rumah sementara yang selesa.

“Siapa yang tidak gembira jika ditawarkan rumah, apatah lagi dalam kawasan bandar yang agak sukar untuk mencari rumah sewa murah atau membeli rumah mampu milik.

“Ini satu usaha yang bagus dan diharapkan ia dapat diperluaskan dan diperbanyakkan terutama dalam kawasan bandar di mana anak muda sedikit sukar untuk mencari kediaman mampu milik,” katanya.

Bagi Fatimah Hussien, 29, inisiatif Rumah Transit Belia Johor adalah satu usaha yang baik dan dapat membantu kumpulan belia memiliki kediaman walaupun ia sementara.

“Walaupun sementara, dengan kadar sewaan murah membolehkan mereka yang baru membina keluarga menyimpan duit dan mengukuhkan kewangan sebelum dapat membeli kediaman sendiri.

“Pemilihan lokasi di PPR Sungai Melana ini juga amat sesuai berikutan terletak hampir dengan kawasan bandar dan memudahkan belia yang mahu bekerja di bandar raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 9:55 AM