NIK Omar Nik Aziz, yakin ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mendoakan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). FOTO NSTP
NIK Omar Nik Aziz, yakin ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak mendoakan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). FOTO NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


CALON PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Omar Nik Aziz, yakin ibunya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, mendoakan kejayaannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Nik Omar berkata, soal restu ibu yang dikaitkan dengan dirinya sebaik menjadi calon di DUN berkenaan hanya silap faham dan masalah teknikal.

“Apa yang pasti, bonda saya turut mendoakan saya seperti anak-anak yang lain. Apa yang kita minta daripada bonda tidak banyak, yang pentingnya bonda doa kepada semua anak-anak.

“Begitu juga saya sebagai anak, wajib kita mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapa kita,” katanya ketika ditemui, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Nik Omar yang juga anak kedua daripada 10 beradik meluangkan masa berjumpa ibunya di Pulau Melaka, namun beliau enggan mengulas secara jelas pendirian ibunya terhadap keputusannya bertanding atas tiket PKR.

Nik Omar turut meluangkan masa berjumpa pelajarnya di Maahad Darul Annuar.

Pada masa sama, beliau akan meneruskan agenda hudud termasuk Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

“Ia adalah tanggungjawab sebagai hamba Allah untuk patuh. Bukan setakat hudud, tetapi tanggungjawab untuk patuh dan tunduk kepada semua syariat dan arahan Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 1:19 PM