ULAR sawa yang ditangkap di Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. FOTO APM
ULAR sawa yang ditangkap di Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. FOTO APM
Safuri Kamarudin


SEORANG lelaki cemas apabila melihat ular sawa sebesar batang pinang ke arahnya ketika dia memancing di sungai di Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu, petang semalam.

Ia menyebabkan lelaki berkenaan lari lintang-pukang sebelum mendapatkan bantuan penduduk kampung yang kemudiannya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai APM Pengkalan Hulu, Kapten (PA) Yusuf Ahmad, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian, pada 6.45 petang.

Beliau berkata, empat anggota kemudian tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian sebelum melakukan operasi menangkap reptilia berkenaan.

“Ular itu kemudian berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas,” katanya kepada NSTP.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati ular sawa itu sepanjang tujuh meter dan seberat 70 kilogram (kg).

"Ular itu dipercayai keluar dari sarangnya untuk mencari makanan terutama haiwan ternakan penduduk.

“Sebelum ini, ada kes ular sawa batik ditangkap dalam keadaan kekenyangan selepas menelan kambing milik penduduk,” katanya.

Menurutnya, selepas ditangkap, ular itu dibawa pulang ke pejabat APM untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan penduduk supaya berhati-hati jika terjumpa dengan ular dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 2:39 PM