A Jalil Hamid dan Luqman Arif Abdul Karim


PERCATURAN calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilaksanakan sejak lima tahun lalu dengan empat kriteria, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, kriteria itu mencakupi rekod prestasi perkhidmatan, keperluan menampilkan muka baharu, nisbah perwakilan kaum dan pertimbangan politik.

Katanya, ia selaras demografi Malaysia yang merangkumi masyarakat berbilang kaum dan agenda mengangkat martabat golongan wanita dan belia sebagai generasi pelapis.

NAJIB Razak. FOTO arkib NSTP
NAJIB Razak. FOTO arkib NSTP

“Kita buat penilaian berdasarkan maklumat diterima, semangat setia kawan BN dan kehendak pengundi serta rakyat.

“Saya faham ada anggota BN yang tidak terpilih akan mempertikaikan keputusan dibuat dan tidak berpuas hati.

“Bagaimanapun, saya harap mereka dapat terima keputusan dengan hati terbuka dan menyokong calon yang ditampilkan dengan meletakkan kemenangan BN melangkaui segala kepentingan,” katanya pada sidang media khas di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Najib berkata, percaturan yang menampilkan kepelbagaian calon penting untuk memastikan BN memenangi pertempuran besar, berbanding peperangan kecil menjelang PRU-14.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 2:12 PM