Hidir Reduan dan Ahmad Suhael Adnan


SEMANGAT solidariti dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju, khususnya UMNO dan MCA jelas dirasai ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat kawasan itu, malam ini.

Kehadiran Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah dan calon BN di Parlimen Wangsa Maju, Datuk Seri Yew Teong Look di sisi Najib, mendapat sorakan padu penduduk Wangsa Maju sepanjang Majlis Ramah Mesra Rakyat di sini.

Ia sekali gus menggambarkan episod ketegangan antara UMNO dan MCA Wangsa Maju sebelum ini sudah berkubur dan memberi keyakinan BN sudah bersedia merampas Parlimen Wangsa Maju daripada pembangkang.

Solidariti ditonjolkan pimpinan parti komponen BN dan rakyat di Wangsa Maju diakui Najib yang menyatakan muafakat itu mampu memastikan kerajaan sedia ada kekal memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berakhir.

“Sambutan pada malam ini lebih ramai daripada siang tadi (di Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak) walaupun notis memaklumkan saya hadir ke sini diberikan begitu singkat, iaitu semalam.

“Saya nak tengok BN Wangsa Maju, saya nak uji jentera BN Wangsa Maju. Saya boleh simpulkan jentera BN Wangsa Maju begitu teguh semangatnya,” katanya sambil disahut sorakan kira-kira 3,000 jentera BN Wangsa Maju dan penduduk yang hadir pada majlis berkenaan.

Parlimen Wangsa Maju adalah antara kerusi yang menjadi perebutan antara UMNO dan MCA hingga wujud khabar angin kemungkinan sabotaj antara satu sama lain akan berlaku sepanjang kempen PRU-14.

Mohd Shafei sebelum ini mendakwa sokongan pada BN akan terjejas jika wakil MCA dicalonkan di kerusi itu, manakala Teong Look yang juga Pengerusi Perhubungan MCA Wilayah Persekutuan, percaya beliau mampu menarik sokongan pengundi Melayu.

Teong Look diumumkan calon BN bagi kerusi Wangsa Maju, yang pernah dimenanginya dalam PRU-11 pada 2004, tetapi tewas ketika PRU berikutnya pada 2008.

Bagaimanapun, ketegangan antara UMNO dan MCA di kawasan itu dilihat pulih apabila Mohd Shafei kembali menerajui jentera PRU-14 Parlimen Wangsa Maju bagi membantu Teong Look.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) tiba pada majlis ramah Mesra Bersam Rakyat di PPR Gombak Setia, Wangsa Maju. - Foto Osman Adnan
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) tiba pada majlis ramah Mesra Bersam Rakyat di PPR Gombak Setia, Wangsa Maju. - Foto Osman Adnan

Sementara itu, Najib turut memuji Mohd Shafei yang kekal setia dan walak kepada parti serta pemimpin walaupun tidak dipilih calon BN bagi Parlimen Wangsa Maju.

“Kali ini demi muafakat BN, saya nak kita bersemangat dan berbesar hati. Tak kira kalau MCA jadi calon, itu adalah BN. Kalau UMNO jadi calon, itu juga BN. Kalau MIC jadi calon itu juga BN.

“Kalau ada permuafakatan seperti ini, malam 9 Mei, Insya-Allah Putrajaya akan terus menjadi milik BN,” katanya.

Najib berkata, disiplin dan struktur tersusun BN juga mengukuhkan kekuatan parti itu yang ditunjangi muafakat antara parti komponennya seperti UMNO, MCA, MIC, GERAKAN dan MyPPP.

Katanya, ia berbeza dengan pembangkang yang tidak tersusun, menyebabkan beberapa calon mereka gagal bertanding pada PRU-14, selain kecuaian calon PKR di Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew, yang hampir tidak layak bertanding kerana tidak membawa kad pengenalan.

“Ada parti pilih orang yang lupa bawa kad pengenalan, hampir tak layak bertanding. Ramai calon parti pembangkang yang tidak layak. Ada yang nak isi borang pun tak tahu.

“Kita sudah letih Wangsa Maju asyik kalah saja, tetapi itu kalah sementara. Kita berperang pada PRU-14 ini dan apabila perang, kita mesti menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 11:19 PM