KUANTAN 26 APRIL 2018. Ketua Wanita UMNO Rompin, Datuk Shamsiah Arshad dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
KUANTAN 26 APRIL 2018. Ketua Wanita UMNO Rompin, Datuk Shamsiah Arshad dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


KETUA Wanita UMNO Rompin, Datuk Shamsiah Arshad dipilih sebagai calon muka baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pemilihan Shamsiah adalah bagi memenuhi kuota Pergerakan Wanita UMNO pada pilihan raya kali ini.

Katanya, meskipun BN Pahang meletakkan dua calon wanita iaitu Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul dan Nurhidayah Shahaimi (DUN Luit), ia bukan atas kapasiti Wanita UMNO.

Seorang lagi calon wanita yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Rompin, Datuk Seri Maznah Mazlan, yang sebelum ini penyandang DUN Muadzam Shah, digugurkan.

“Pucuk pimpinan memilih Datuk Shamsiah (Arshad) bagi memenuhi kuota Wanita UMNO kerana dua calon wanita yang dipilih tidak diiktiraf sebagai Wanita UMNO.

“Beliau menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Wan Kadri Wan Mahusin yang digugurkan bagi pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui di Kuantan, hari ini.

Adnan membuat penjelasan itu berikutan desas desus yang mengatakan kekecewaan Wanita UMNO Pahang tersebar apabila tiada pemimpin pergerakan itu disenaraikan sebagai calon ketika beliau mengumumkan senarai penuh calon BN pada sebelah pagi.

Selain itu, Menteri Besar turut menyifatkan Wan Kadri sebagai berjiwa besar kerana menerima penggugurannya dengan hati terbuka.

“Beliau menerima keputusan ini (tidak disenaraikan) dengan hati terbuka, walaupun beliau bertahan hanya sepenggal sahaja,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung tindakan protes dilakukan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati terhadap calon yang dipilih, Adnan berkata, ia adalah perkara biasa.

“Perkara ini (protes) adalah biasa, no (tiada) hal lah... ia ada di mana-mana dan tidak menjejaskan kita. Tidak akan ada sebarang perubahan (dalam senarai calon) walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 9:07 PM