Muhyiddin pada sidang media mengumumkan PPBM tetap menggunakan logo PKR seperti yang dipersetujui sebelum ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Muhyiddin pada sidang media mengumumkan PPBM tetap menggunakan logo PKR seperti yang dipersetujui sebelum ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Mohd Iskandar Ibrahim dan Fernando Fong

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan terus menggunakan logo PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) meskipun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang membubarkan sementara pendaftaran parti itu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan mengekalkan penggunaan logo PKR itu dibuat kerana kerjasama dalam kalangan pakatan pembangkang sudah memutuskan untuk berbuat demikian.

“Dengan keputusan mahkamah hari ini, bermakna kedudukan PPBM belum dan tidak terbatal. Lagi pun kita sudah membuat persiapan awal mengenai soal kerjasama dalam pakatan yang mana kita sudah bersetuju menggunakan logo PKR.

“Semua calon (PPBM) yang sudah dipilih akan tetap bertanding menggunakan simbol PKR kerana status tidak tergugat dengan keputusan terbaru mahkamah,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menggantung keputusan ROS yang membubarkan sementara pendaftaran parti itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Majlis Presiden pakatan pembangkang sebelum ini sudah menetapkan penggunaan logo PKR pada PRU-14 dan ROS juga tiada halangan untuk mana-mana parti dalam gabungan itu menggunakan logo terbabit.

“Tidak kira apa saja status, kita akan menggunakan satu logo saja iaitu logo PKR kerana ini sudah dipersetujui semua pihak.

“Bagaimanapun kami amat bersyukur dengan keputusan mahkamah dan ‘we are back again’ (kami sudah kembali). Keputusan mahkamah memberi kami semangat baru dan motivasi untuk terus bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 5:25 PM