Lim (tengah) tak puas hati logo roket DAP tidak digunakan semasa PRU-14. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Lim (tengah) tak puas hati logo roket DAP tidak digunakan semasa PRU-14. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Halim Said

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang marah apabila logo parti itu yang sudah berusia 50 tahun, tidak akan digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.

Beliau kecewa dengan keputusan untuk menggunakan lambang bersama berbanding lambang roket parti itu yang sudah digunakan sejak 50 tahun lalu.

Bagaimanapun beliau tetap mengenepikan ‘kepahitan’ itu demi komponen Pakatan Harapan (PH) supaya bersatu untuk mencabar parti kerajaan.

“Bukan sahaja ada ahli DAP yang marah dengan keputusan itu, malah saya juga marah tetapi demi kepentingan bersama yang bersatu untuk pilihan raya, kita akan ikut logo apa yang akan diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini di Pasir Gudang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program parti Stulang, di Johor Bahru hari ini.

Pada program itu, Lim turut mengumumkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng kekal sebagai calon DAP dalam PRU-14.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengumumkan persetujuan untuk menggunakan satu lambang yang disepakati semua komponen parti dalam PH pada PRU-14.

Keputusan terbabit diambil selepas kegagalan PH didaftarkan sebagai pakatan untuk bertanding dalam pilihan raya itu nanti.

Dalam pada itu Lim berkata tidak mustahil pakatan pembangkang itu memenangi PRU-14 namun ia bukan sesuatu yang mudah selain berdepan pelbagai cabaran.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub dalam ucapannya berkata, pihaknya akan tetap memastikan peruntukan kerusi Parlimen dan DUN kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) walaupun parti itu dibubarkan sementara oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Kita sudah bersiap sedia untuk pilihan raya, semua calon kita juga sudah bersedia menghadapi lawan mereka. Kita sudah bersedia untuk ke Putrajaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 5:52 PM