Siti Rohana Idris


SURUHANJAYA Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan hanya 2,214 peniaga atas talian yang mendaftar di bawah BizTrust yang diperkenalkan agensi itu sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, jumlah itu dilihat masih rendah berbanding kira-kira 61,000 perniagaan atas talian kini.

Katanya, keengganan peniaga mendaftarkan perniagaan mereka itu boleh menjejaskan keyakinan pembeli terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan kerana ramai pelanggan berdepan dengan kes penipuan pembelian atas talian.

"Kita mengalu-alukan peniaga atas talian supaya mendaftarkan perniagaan mereka di bawah BizTrust kerana logo itu akan terpampang dalam laman atau media sosial yang digunakan sebagai medium pemasaran.

"Pembeli hanya perlu klik di logo itu sahaja untuk memastikan perniagaan yang dijalankan tiada unsur penipuan kerana ia akan memaparkan nama dan pendaftaran syarikat terbabit," katanya selepas Program Kayuhan Kasih yang dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) di Rumah Generasiku Sayang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengasas YANAS, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Aktiviti berbasikal di sekitar bandar Tumpat sejauh kira-kira 3.6 kilometer dibuat dengan mengunjungi tiga rumah penduduk untuk menyampaikan sumbangan kewangan dan makanan.

Dalam perkembangan berkaitan, Zaharah berkata, sejak 2015 sebanyak 20,000 perniagaan atas talian berdaftar dengan SSM.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak sehingga kini.

"SSM akan terus memantau perniagaan atas talian ini dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 3:45 PM