Amran Yahya

IBU tunggal bimbang dengan nasib anaknya, Nur Afiq Hazim Samsuhadi, 12, yang hilang selepas dipercayai keluar bersama seorang rakannya di madrasah di Melang di sini, sejak pagi semalam.

Helynorzara Nordin, 43, ketika ditemui di Kampung Pasir Ambor, Juasseh berkata, dia mendapat berita daripada kakitangan madrasah pada 11 pagi memaklumkan anaknya disedari hilang selepas solat Subuh.

Katanya, menurut pengurusan madrasah berkenaan, anaknya hilang bersama seorang lagi rakan iaitu Zaharul Hisham Zarul Nizam, 14, namun pemeriksaan di bilik mereka mendapati pakaian masing-masing masih ada.

“Saya percaya anak saya dan rakannya menghilangkan diri sehelai sepinggang dan menurut rakan sebiliknya, Nur Afiq kali terakhir dilihat memakai baju T merah dan seluar sukan hitam,” katanya.

Helynorzara berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu sebelum ini beberapa kali menyuarakan hasrat mahu pulang ke rumah kerana tidak selesa tinggal berjauhan dengan keluarga selepas dihantar belajar ke madrasah berkenaan awal Januari lalu.

Katanya, dia turut mengakui Nur Afiq sebelum ini tidak pernah berenggang dengannya malah tidak pernah keluar seorang diri untuk ke mana-mana menyebabkan dia yakin anaknya menghilangkan diri untuk pulang ke rumah.

“Saya juga percaya dia masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran di madrasah, tetapi saya nasihatkan dia supaya meneruskan pembelajaran sehingga hujung tahun dan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan madrasah untuk tindakan selanjutnya.

“Nur Afiq bersetuju dan tidak membantah malah bersetuju untuk meneruskan pembelajaran namun saya terkejut apabila diberitahu dia hilang dari madrasah,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Nur Afiq, 5 April lalu ketika dia pulang bercuti selama seminggu.

Katanya, sehubungan itu dia dengan dibantu beberapa rakan mencari anaknya di sekitar Kuala Pilah, Jempol, Seremban dan Senawang malam tadi namun tidak berhasil.

Mereka kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah pada 2 pagi ini.

“Saya juga menghubungi ibu kepada Zaharul di Seremban tetapi mereka juga tidak tahu di mana Nur Afiq dan anaknya menghilangkan diri,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, orang yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak berkenaan supaya menghubungi 017- 6147176.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 2:56 PM