ANTHONY Loke (kiri) dan Mazlan menunjukkan pelan laluan Projek Landasan Berkembar ETS Gemas-Johor Bahru ketika sidang media di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
ANTHONY Loke (kiri) dan Mazlan menunjukkan pelan laluan Projek Landasan Berkembar ETS Gemas-Johor Bahru ketika sidang media di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Iskandar Puteri, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ibrahim Isa


KERAJAAN Persekutuan akan meneruskan projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru yang dijangka siap mengikut jadual pada 31 Oktober 2021.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan komited menyiapkan projek itu bagi menghubungkan keseluruhan Pantai Barat menjelang 2022 iaitu dari Padang Besar (Perlis) ke Johor Bahru.

Menurutnya, projek menelan belanja sebanyak RM8.9 bilion itu amat penting untuk melengkapkan jaringan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan.

Katanya, pada masa sama pihaknya mengambil perhatian permohonan kerajaan negeri untuk menambah stesen ETS antara Kulai dan Kempas.

“Kita minta kontraktor melihat dan mengkajinya sebelum mengemukakan kertas cadangan untuk dipertimbangkan.

“Bagaimanapun, apa-apa kelulusan tertakluk kepada mesyuarat Kabinet kerana apa yang kita tandatangani sebelum ini hanya membabitkan 11 stesen.

“Pertambahan stesen menyebabkan pertambahan kos dan kos memerlukan kelulusan kabinet. Kerajaan amat sensitif berkaitan kos kerana ketika ini kita kena mengawal kos dengan berhati-hati,” katanya pada sidang media selepas menerima taklimat berkaitan projek itu di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad di Iskandar Puteri, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastuktur dan Pengangkutan Johor Mazlan Bujang

Projek ETS Gemas-Johor Bahru diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) membabitkan landasan sepanjang 192 kilometer dengan 11 stesen termasuk Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Rengam, Layang-layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak menetapkan tempoh tertentu untuk pembinaan stesen baru kerana apa yang penting adalah membina landasan manakala stesen hanya akan dibina tahun depan.

Pada masa sama, Anthony berkata, kerajaan tidak perlu membayar sebarang pampasan kepada Singapura biarpun projek Rapid Transit System (RTS) yang akan diteruskan dijangka lewat siap antara satu hingga dua bulan.

“Isu itu tidak dibangkitkan kerana kita belum menandatangani perjanjian, hanya memorandum persefahaman (MoU) komitmen kami, jadi tidak perlu ganti rugi,” katanya.

RTS bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru ke Woodlands, Singapura dan projek itu menelan belanja RM4 billion.

Ia dianggap penting kerana mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus mengatasi masalah kesesakan di pintu masuk kedua-dua negara.

Ia dijangka siap pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 7:13 PM