PEGAWAI SPRM membawa dua suspek untuk direman, hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. FOTO Azhar Ramli
PEGAWAI SPRM membawa dua suspek untuk direman, hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli


PENGARAH Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perlis direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan selepas disyaki terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Manakala seorang pemilik syarikat turut direman empat hari untuk siasatan kes sama.

Perintah tahanan reman sehingga Jumaat ini dikeluarkan Hakim Mahkamah Seksyen Rusita Md Lazim.

Penahanan reman itu bagi membolehkan siasatan terhadap penjawat awam berusia 44 tahun itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara, pemilik syarikat berusia 39 tahun disiasat mengikut Sekyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, pengarah terbabit yang memakai kemeja putih tiba di mahkamah pada 10.30 pagi bersama pemilik syarikat yang memakai t-shirt merah dengan diiringi pegawai SPRM.

NSTP semalam melaporkan SPRM menahan Pengarah JPV Perlis kerana disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Suspek yang juga seorang doktor didapati meluluskan lesen 'Perladangan Unggas dan Aktiviti Lain' atas nama dua syarikat yang dikatakan tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Menurut sumber, pengarah terbabit menerima suapan iaitu menduduki rumah milik pemilik syarikat itu tanpa membayar duit sewa dianggarkan berjumlah RM9,600 sejak November 2016 hingga November 2017.

Kedua-dua suspek ditahan di SPRM Perlis ketika dipanggil bagi membantu siasatan pada 1 tengah hari semalam.

Berita berkaitan

Pengarah JPV Perlis ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 12:25 PM