IBU Pejabat SPRM.
IBU Pejabat SPRM.
Skuad Khas Harian Metro


GEORGETOWN: Sebahagian besar anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ini dikesan mengutip wang rasuah daripada pemilik syarikat lori untuk diberi kepada pegawai atasan mereka bagi tujuan berhibur.

Malah, pada masa sama, anggota terbabit juga menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi selain menampung aktiviti hiburan pegawai atasan yang datang ke negeri ini atas sesuatu tugasan.

Kegiatan mereka terbongkar apabila 24 kakitangan JPJ negeri dan sembilan orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu operasi khas bermula jam 10 pagi semalam.

Menurut sumber, kegiatan anggota JPJ itu dianggap terlalu teruk dan merebak kerana dipercayai membabitkan begitu ramai anggota dan pegawai.

“Mereka dipercayai menjadikan syarikat lori yang beroperasi di negeri ini sebagai sasaran terutama yang gemar membawa lebih muatan.

“Anggota ditahan itu dari gred 19 hingga 32 berusia antara 31 hingga 54 tahun.

“Sembilan orang awam termasuk tiga wanita turut ditahan. Mereka berperanan sebagai proksi, tonto dan pemilik syarikat lori,” katanya.

Beliau berkata, semua anggota berkenaan dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 setiap bulan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori, selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

“Wang diterima dipercayai untuk pegawai kanan JPJ berhibur. Tangkapan ini siasatan peringkat pertama dan dijangka 50 lagi bakal ditahan,” kata sumber.

Menurutnya, dianggarkan tidak kurang 80 pegawai penguat kuasa JPJ menerima rasuah daripada pemilik syarikat lori.

Sumber berkata, kumpulan lori dilindungi ini dibekalkan dengan pelekat khas disediakan tonto supaya mereka mudah dikenal pasti, sekali gus kebal daripada tindakan penguat kuasa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Beliau berkata, operasi besar-besaran Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan kerjasama SPRM Pulau Pinang itu dilakukan hasil risikan sejak beberapa bulan lalu selain mendapat maklumat orang awam.

Azam tidak menolak kemungkinan lebih ramai dipanggil membantu siasatan.

Semua ditahan dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:00 AM