ANGGOTA JTLM memeriksa bangkai penyu Agar yang ditemui mati, semalam.
ANGGOTA JTLM memeriksa bangkai penyu Agar yang ditemui mati, semalam.
Mohd Sah Muda

Mersing: Penyu Agar yang ditemui mati di Pulau Sibu di sini, semalam dipercayai berpunca daripada kejadian minyak hitam hanyut di kawasan perairan itu.

Pengarah Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Johor Bahrinah Bahrim berkata, pihaknya mendapat maklumat dari pengusaha sebuah pusat peranginan di pulau itu selepas pekerjanya menemui penyu di pantai pulau berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati ada cecair pekat warna hitam keluar daripada bangkai perut penyu itu dipercayai akibat memakan minyak hitam terbabit.

“Cecair hitam itu dikesan di dalam usus penyu berkenaan. Dipercayai cecair hitam terbabit adalah daripada bebola tar yang hanyut di sekitar perairan Pulau Sibu sejak 10 Mac lalu,” katanya.

Menurutnya, penyu betina dewasa itu dianggarkan seberat 60 kilogram dan dipercayai mati sejak seminggu lalu kerana keadaan bangkainya yang busuk.

Katanya, lima anggota JTLM Johor ditugaskan memeriksa bangkai penyu itu dan menanamnya di kawasan pantai pulau berkenaan.

Beliau meminta semua pihak yang berkaitan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan pemeriksaan dan pembersihan kapal mereka.

Katanya, ini bagi mengelakkan kesan buruk kepada hidupan marin.

“Saya memuji komuniti Pulau Sibu kerana membersihkan segera pantai dan tumpahan minyak dalam usaha memulihara kelestarian pulau ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 3:54 AM