ANGGOTA APM menangkap ular sawa berukuran tiga meter.
ANGGOTA APM menangkap ular sawa berukuran tiga meter.
Recqueal Raimi


Tuaran: “Dua anak saya terkejut dan sedih apabila tiga anak kucing kesayangan mereka yang dinamakan Oleng, Kelabu dan Hitam dibaham ular sawa.”

Demikian kata Sair Datik, 40, selepas tiga anak kucing peliharaannya berusia tiga bulan itu mati dibaham ular sawa berukuran tiga meter di rumahnya Taman Sri Dungang di sini, kelmarin.

Kejadian jam 6.30 petang itu hanya disedari Sair, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Berungis, di sini, apabila pulang di rumahnya sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan bantuan.

Sair berkata, sebaik pulang ke rumah, dia mahu mengeluarkan tiga anak kucing berkenaan daripada sangkar untuk bermain dengan dua anaknya yang berusia empat dan enam tahun.

“Namun, ketika mahu mengambil anak kucing dalam kotak, saya terkejut mendapati ular sawa batik seperti kekenyangan dan hanya ibu kucing saja yang tinggal, sementara tiga anak kucing sudah dibaham.

“Anak saya bertanya di mana anak kucing kesayangan mereka, tetapi saya hanya menceritakan kepada mereka kejadian itu selepas anggota APM tiba di rumah,” katanya.

Menurut Sair, ular berkenaan gagal keluar melalui lubang dawai sangkar kucing itu kerana saiznya yang besar selepas membaham tiga anak kucing terbabit.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Tuaran, Paulina Francis berkata, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian itu, empat anggota diketuai Jennysen Moidin dikerah ke lokasi.

“Ular sawa seberat 20 kilogram itu adalah ular terbesar ditangkap di Tuaran tahun ini,” katanya sambil menambah operasi tamat jam 7.47 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 9:48 AM