ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa yang ditemui lemas. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengusung mayat mangsa yang ditemui lemas. FOTO ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


ANGGOTA Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ditemui lemas dipercayai ketika memukat bersama seorang lagi rakannya di Lombong Batu 10, Tanjung Tualang dekat Batu Gajah, hari ini.

Mangsa, Bintara Muda Zali Ahmad Bistaman, 36, ditemui tersangkut pada jaring ketika cuba menyelamatkan diri selepas bot dinaiki karam pada 3.20 pagi.

Difahamkan, mangsa bersama seorang lagi rakan memasang jaring di lombong berkenaan pada 9 malam tadi sebelum bot dinaiki pecah dan karam.

Rakan mangsa berjaya berenang ke tebing lombong namun mangsa dipercayai tersangkut pada jaring sebelum tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Mohd Jamalludin Mat Yusop berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 11.39 malam.

Katanya, anggota bomba dimaklumkan rakan mangsa turut menjalankan usaha mencari namun gagal menemuinya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu membabitkan 19 anggota bomba dan turut dibantu 16 anggota polis dan tiga anggota TLDM.

"Anggota bomba melakukan pencarian di permukaan air menaiki bos selain menggunakan peralatan khas bagi mengesan mangsa.

"Pencarian lebih daripada empat jam berjaya menemui mayat mangsa tersangkut pada jaring ikan kira-kira 70 meter dari tebing lombong pada 3.20 pagi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Jamalludin berkata, anggota bomba mengangkat mayat mangsa ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi SAR tamat pada 5 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 10:27 AM