ANGGOTA bomba memadam kebakaran di pusat kesihatan di Miri yang dibakar lelaki kurang siuman, hari ini. Pelanggan yang berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran (gambar kecil). FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di pusat kesihatan di Miri yang dibakar lelaki kurang siuman, hari ini. Pelanggan yang berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran (gambar kecil). FOTO Ihsan JBPM
Mohd Rizal Abdullah


LEBIH 60 pelanggan kebanyakkannya warga emas bertempiaran lari selepas seorang lelaki mengamuk menggunakan kapak dan membakar sebuah pusat kesihatan di Bandar Baharu Permyjaya, Miri, hari ini.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari, suspek, 30-an, dikatakan datang ke pusat rawatan itu yang beroperasi di tingkat satu bangunan kedai.

Sumber berkata, suspek dipercayai kurang siuman tiba-tiba mengamuk menggunakan kapak mengakibatkan semua pelanggan bertempiaran lari.

Katanya, wanita, 20-an, yang juga pekerja premis turut cedera ketika cuba melarikan diri.

“Suspek kemudian membakar ruang pejabat pusat kesihatan berkenaan, bagaimanapun dia berjaya ditahan polis tidak lama kemudian dan dibawa ke Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.46 tengah hari berhubung insiden berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng serta Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikerahkan lokasi.

“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati kebakaran membabitkan kawasan pejabat dan terbakar sebanyak 20 peratus. Kebakaran berjaya dikawal tiga minit kemudian dan hanya seorang mangsa yang cedera, manakala selebihnya selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 4:54 PM