GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tahap kesedaran dan kepercayaan yang rendah serta keyakinan dan tahap celik kewangan digital yang masih terhad terus menjadi halangan bagi sesetengah segmen masyarakat untuk menerima pakai dan meraih manfaat daripada perkhidmatan kewangan digital (DFS).

Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini menjelaskan penekanan tentang kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran hidup dapat melengkapkan pengguna dengan pengetahuan dan sumber untuk menguruskan aktiviti kewangan harian dengan berkesan, bertanggungjawab dan berkeyakinan.

"Tahap celik kewangan yang dipertingkat, termasuk tahap celik kewangan digital, akhirnya akan memperkasakan pengguna agar dapat memanfaatkan DFS dengan lebih baik apabila menguruskan kewangan harian mereka," tambahnya.

Menurut BNM, Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan bagi Tahun 2021 (Kaji Selidik FCI 2021) yang dijalankan oleh pihaknya baru-baru ini menganggarkan 74 peratus rakyat Malaysia menggunakan DFS.

Pemerhatian yang sama oleh Global Findex Survey 2021 Bank Dunia menunjukkan bahawa 79 peratus orang dewasa di Malaysia menggunakan pembayaran digital, dan 42 peratus daripada kumpulan ini menggunakannya buat kali pertama semasa pandemik, tambahnya.

"Pertambahan bilangan aplikasi dan alat kewangan yang ketara menyebabkan pengguna perlu bijak dari segi digital dan kewangan untuk mengenal pasti produk dan perkhidmatan digital yang sesuai serta memanfaatkannya dengan sebaik mungkin, termasuk untuk tujuan pelaburan," tambah BNM.

Bank pusat itu menyatakan bahawa meskipun penggunaan DFS semakin meluas namun, Kaji Selidik FCI 2021 menunjukkan bahawa tahap celik kewangan digital dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah.

"Jurang ini akan meningkatkan risiko pengguna menjadi mangsa penipuan dalam talian seperti pemancingan data, serangan penggodam, penggunaan data tanpa kebenaran dan dipergunakan sebagai 'akaun keldai'.

"Kes mangsa penipuan dan scam kewangan yang dilaporkan menunjukkan bahawa maklumat peribadi yang dicuri merupakan faktor risiko yang utama," tambah BNM.

Justeru, BNM menekankan bahawa langkah-langkah mempelajari dan memupuk tabiat keselamatan siber yang baik bagi melindungi maklumat peribadi, terutama apabila menggunakan mana-mana platform digital untuk menguruskan kewangan, dapat mengurangkan kemungkinan pengguna menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 11:59 AM