NAJIB Razak
NAJIB Razak
Rohaniza Idris

Kuala Lumpur : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan yang beliau faham perasaan mereka yang kehilangan pekerjaan dan tidak punya pendapatan, tetapi mempunyai tanggungan serta tanggungjawab untuk ditunaikan.

Menurut Najib, kerajaan memperkenalkan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau EIS di Malaysia sebagai inisiatif jaringan keselamatan sosial untuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur.

Katanya, melalui SIP, mereka yang kehilangan pekerjaan dan layak akan menerima bukan saja bantuan kewangan malah bantuan sokongan seperti bantuan carian kerja, kaunseling kerjaya dan pemadanan pekerjaan.

“Antara faedah SIP ialah Elaun Mencari Pekerjaan kepada penganggur dalam tempoh pencarian kerja, Elaun Bekerja Semula Awal bagi mereka yang kembali bekerja awal, Elaun Pendapatan Berkurang bagi yang mempunyai lebih daripada satu majikan, Elaun Latihan berdasarkan permohonan dan keperluan pekerja dan Fi Latihan kepada penyedia latihan yang dilantik.

“Dari segi perkhidmatan pekerjaan, SIP menyediakan kaunseling kerjaya, kaunseling pekerjaan, pencarian kerja, pemadanan kerja, penempatan pekerjaan melalui pendekatan pengurusan kes dan rujukan latihan untuk latihan, latihan semula, meningkatkan kemahiran dan sebagainya,” katanya dalam catatan terbaru di blognya najibrazak.com bertajuk Jaringan Keselamatan Sosial buat Pekerja.

Najib berkata, bermula Januari tahun ini, dalam slip gaji pekerja ada tercatat caruman SIP atau EIS yang mana kadarnya adalah 0.2 peratus syer majikan dan 0.2 peratus syer pekerja dan dihadkan hingga jumlah gaji RM4,000.

Ini bermakna, amaun potongan serendah lima sen dan maksimum hanya RM7.90 saja bagi mereka yang bergaji RM4,000 dan ke atas.

Tuntutan skim itu, katanya, boleh dibuat bermula 2019 dan jumlah bayaran melalui SIP yang akan diberikan bergantung kepada peratusan kadar bulanan menurun 80 peratus, 50 peratus, 40 peratus dan 30 peratus daripada gaji yang diinsuranskan dengan amaun maksimum tuntutan RM10,800 dan diberikan kepada penganggur dalam tempoh pencarian pekerjaan untuk tempoh tiga hingga enam bulan.

Sebagai permulaan, bagi tempoh antara 1 Januari hingga 31 Disember tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM122 juta kepada PERKESO bagi membolehkan mereka menyalurkan bantuan elaun interim RM600 sebulan bagi tempoh tiga bulan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Saya difahamkan, sehingga 7 Februari tahun ini, 1,272 permohonan bantuan interim SIP diterima PERKESO dengan 264 diluluskan dan menerima bayaran bulan pertama pada Januari.

“Daripada program bantuan kaunseling kerjaya dan pemadanan kerjaya pula, seramai enam orang mendapat pekerjaan baru.

“Meskipun tiada siapa yang menginginkan situasi kehilangan pekerjaan dan tiada punca pendapatan, tetapi kita perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 8:20 AM